Adsterra

BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 5

Haikal yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah sesekali memanjangkan leher memandang sahabatnya yang sedari tadi termenung di meja makan. Pandangannya jatuh kepada nasi bungkus di hadapan sahabatnya itu. Tergeleng-geleng dia. Mana tidaknya sudah setengah jam, nasi itu baru luak sedikit. Muka sahabatnya itu bagaikan menanggung satu beban yang cukup berat. Ada masalahkah sahabatnya itu?
Haikal bangun daripada duduknya. Lalu menghampiri Faiz yang masih termenung sahaja. Jari-jemari lelaki itu sudah kering akibat terlalu lama tuan empunyanya termenung.
�Kau ni kenapa Faiz? Aku tengok dari tadi termenung. Kesian makanan tu kau buat �dia� macam tu.�
Faiz mengalihkan pandangannya kepada Haikal yang sudah duduk berhadapan dengannya. Dia mengeluh kemudiannya. Hatinya tidak tenang selagi tiada kata maaf keluar daripada mulut Nur Maisara. Lebih daripada itu, dia amat kecewa kerana wanita itu akan berkahwin.
�Aku jumpa dia, Kal.�
Akhirnya dia membuka mulut setelah beberapa ketika membisu, tidak menjawab pertanyaan Haikal. Berkerut dahi lelaki berusia dua puluh lapan tahun itu, tua setahun daripada Faiz. Mereka sudah berkawan sejak sekian lama. Sudah terbiasa ber�kau� dan �aku� sahaja.
�Siapa?�
�Maisara.�
Otak Haikal mula ligat berfikir akan tuan empunya nama Maisara itu. Membulat matanya bila dia teringatkan seorang gadis berkulit sawo matang yang kaya dengan senyuman. Gadis yang pernah ditemuinya ketika berkunjung ke rumah Faiz beberapa tahun lepas. Mungkin sepuluh tahun lepas! Gadis yang membuatkan sahabatnya itu tersenyum sendiri. Gadis yang membuatkan Faiz menolak semua gadis-gadis lain yang mahu menjadi sebahagian hidupnya. Dan gadis itu juga yang pernah hampir menjadi mangsa kebodohan Faiz sendiri!
�Di mana?�
Ofis aku. Dia jadi Pengurus Personel kat situ.�
�Subhanallah�  Kenapa aku tak pernah sekali pun terserempak dengan dia sepanjang tiga tahun aku duduk sini?�
Faiz tersengih. Ini semua sudah ketentuan ILLAHI. Haikal yang mendiami bumi Pulau Pinang ini tidak diketemukan dengan Maisara sedangkan mereka tinggal di kawasan yang sama.
�Mungkin pernah kot tapi kau tak perasan.�
�Mungkinlah. Aku betul-betul tak sangka. Habis tu macam mana? Kau dapat bercakap dengan dia?�
Faiz angguk. Dia bangun daripada kerusinya dan terus ke dapur. Membasuh tangannya. Seleranya tiada walaupun balik sahaja daripada pejabat tadi dan terbau aroma nasi kandar terus perutnya lapar.
�Dia tak maafkan aku. Dia kata dia tak akan lupakan apa yang aku dah buat.�
Ujar Faiz. Dia kembali duduk berhadapan dengan Haikal. Nasi berlauk ayam goreng berempah serta sayur itu dibungkus kembali dan disorong ke tengah meja. Kalau ada seleranya nanti, dia akan makan semula.
�Kau kena cuba lagi. Aku pasti lama-lama dia akan lembut hati dan maafkan kau. Waktu tu kau bolehlah luahkan perasaan kau kepada dia.�
Haikal membuat rancangan sendiri. Walaupun dia langsung tidak bersetuju bila mengetahui Faiz menyimpan perasaan cinta terhadap sahabat baik kakaknya sendiri tetapi sekarang dia harus akui perasaan Faiz bukanlah satu permainan atau sekadar perasaan yang hadir sesaat cuma.
�Aku dah luahkan dah pun!�
�Hah?! Kau ni gelojoh betullah! Kau kena tunggu dia maafkan kau dulu. Kemudian baru kau luahkan perasaan kau tu!�
�Sekarang atau nanti dah tak ada maknanya, Kal. Dia akan berkahwin.�
Haikal terdiam. Dia terlupa untuk memikirkan status Maisara semasa mengutarakan rancangannya tadi.
�Dah tu?�
�Entahlah Kal. Aku tak boleh paksa dia batalkan perkahwinan dia dan berkahwin dengan aku.  Lagipun dia tak ada langsung perasaan pada aku. Ada ke dia suruh aku panggil dia Kak Sara?�
�Memanglah dia pangkat kakak dengan kau! Patutlah tu. Bukan ke dia sebaya dengan Kak Aina kau?! Dahlah tu Faiz. Penantian kau selama� tujuh tahun ni.. cop� bukan tujuh tahun� dua belas tahun� start kau form three kan? Penantian tu adalah sia-sia. Sekarang, kau kena terima hakikat Maisara bukan milik kau. Kau kena buka pintu hati kau untuk perempuan lain. Kalau kau mahu, aku boleh kenalkan marka Peneng buat kau!�
�Hati dan perasaan aku cuma untuk Maisara. Tak kiralah dia milik siapa pun!�
Faiz bingkas bangun dan terus masuk ke biliknya. Hatinya nekad, cintanya hanya untuk seorang Maisara. Walaupun wanita itu akan menjadi milik lelaki lain.
Telefon bimbitnya dicapai. Nama Kak Ngahnya dicari. Seketika kemudian panggilannya bersambung. Sedikit lambat barulah Kak Ngahnya menjawab.
�Assalamualaikum Kak Ngah.�
�Waalaikumussalam. Apa pasal suara macam tu. Kamu kat mana?�
�Kat rumah lah Kak Ngah. Wina dah tidur ke?�
�Baru je tidur. Balik tak hujung minggu ni?�
�InsyaALLAH. Kak Ngah, Iz ada benda nak beritahu ni.�
�Kak Ngah dah agak dah. Apa dia?�
�Erm.. Iz jumpa Maisara.�
Diam seketika di sebelah sana. Sudah Faiz mengagak. Kakaknya itu semestinya terkejut dengan berita yang baru dikhabarkan. Maisara itu teman baiknya Kak Ngah. Teman yang selalu diajak bermalam di rumah mereka apabila cuti semester. Selalunya sekadar sehari dua sebelum Maisara pulang ke kampong halamannya di Sik, Kedah. Maisara memang amat disenangi oleh keluarga mereka. Mungkin kerana itu, Maisara terasa tidak senang hati bila menolak ajakan Kak Ngahnya untuk bermalam di rumah. Sehingga Maisara bekerja pun masih wanita itu datang berkunjung. Kalau ada kerja di Kuala Lumpur rumah mereka menjadi persinggahan. Emak dan ayah mereka memang tidak membenarkan Maisara tinggal di hotel. Mungkin kerana segan, kekadang kehadirannya ke Kuala Lumpur tidak dimaklumkan kepada mereka sekeluarga.
�Jumpa di mana? Dia kenal kamu?�
�Satu pejabat tapi lain department. Dia masih tak maafkan Iz.�
Perlahan sahaja Faiz bersuara. Ada rasa sebak menjalar ke segenap pelusuk diri. Serasa dia mahu menangis.
�Hurm.. dia dah kahwin?�
�Dia beritahu Iz dia akan berkahwin lagi beberapa bulan.�
�Cubalah Iz selagi Iz boleh. Kak Ngah yakin lama kelamaan dia akan maafkan Iz.�
�Entahlah Kak Ngah. Tengah hari tadi, dia bagi amaran kat Iz kalau Iz tetap ganggu dia sama ada dia berhenti kerja atau dia akan buatkan Iz dibuang kerja!�
Ada keluhan di hujung bicara Faiz. Begitu juga dengan Aina Mardhiah di sebelah sana. Puas dia mencari ke mana sahabatnya pergi tetapi akhirnya Faiz berjaya menemui sahabatnya itu.
�Tak apalah. Iz jangan mendesak sangat dia. Macam ni lah bulan depan Kak Ngah dengan Abang Ngah dah merancang nak ke sana. Mungkin kalau Iz boleh tolong bawak Kak Ngah jumpa Maisara.�
�InsyaALLAH Kak Ngah.�
Perbualan antara dua beradik itu tamat setelah beberapa ketika. Faiz mengeluh untuk ke sekian kalinya. Terbayang-bayang segala perlakuannya tujuh tahun lalu. Perlakuan yang membuatkan Maisara menjauh dan menghilang daripada mereka sekeluarga. Malah kerana perlakuannya itu, bertahun-tahun Kak Ngahnya itu memulaukan dirinya. Bukan itu sahaja, dia terpaksa menerima hukuman yang cukup berat. Emak dan ayahnya juga begitu marah dengannya sehinggakan mereka langsung tidak memperdulikannya. Nasib baik ia tidak lama. Itupun setelah dia sanggup melutut dan memohon maaf ke atas perbuatannya.

0 Response to "BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 5"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel