Cerpen : Kisah Semalam
Raindra Farhan. Sebaris nama itu membuatkan tubuh Anida menggigil. Tubuhnya diserang panas dan sejuk sekaligus. Degupan jantungnya hilang rentaknya. Nasib baiklah dia sedang duduk pada waktu ini, kalau tidak boleh jadi dia sudah terduduk di atas lantai.
Nama itu mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang jauh di rantau seberang. Figura lelaki berkot putih separas lutut itu bermain di matanya. Dua belas tahun tempoh yang memisahkan mereka. Namun, belum cukup membuatkan gadis bernama Anida ini melupakannya secara total. Walaupun tiada lagi walau sekeping gambar lelaki itu di dalam simpanan, tetapi raut wajah itu masih utuh di dalam fikiran.
Raindra Farhan. Jejaka bergelar doktor muda di Rumah Sakit Hasan Sadikin yang dikenalinya ketika dia datang ke Bandung bersama keluarganya menemui Ahmad Zakwan, abangnya.
Lewat perkenalan itu membibitkan rasa cinta untuk lelaki yang murah dengan senyuman itu. Lelaki yang lembut bicaranya tetapi tegas dengan pendiriannya. Lelaki yang sentiasa baik-baik sahaja pemikirannya.
Namun, saat cinta mahu bercambah mereka terpaksa akur. Perasaan orang tua lebih utama daripada cinta sesama mereka. Walaupun berat untuk melepaskan satu-satunya lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya, Anida redha. Dia percaya membahagiakan ke dua-dua ibu-bapanya lebih utama.
�Jauh termenungnya, Kak Ida. Apa yang difikirkan tu?�
Sapaan Wirda melenyapkan segala kenangan yang bermain di layar mata. Dia tersenyum sedikit tanpa memberikan jawapan yang dimahukan Wirda. Terus dia menyambung menulis nama peserta bengkel penulisan yang bakal berlangsung esok hari.
###
Sembilan pagi. Waktu pendaftaran.
Hati Anida jadi tidak keruan. Dia yang sepatutnya berada di dalam dewan mengambil keputusan menukar tempat dengan Salihin di meja pendaftaran. Dia benar-benar tidak sabar mahu mengetahui benarkah Raindra Farhan itu adalah orang yang sama dia kenali dua belas tahun lalu.
�Muhammad Raindra Farhan.�
Terhenti gerakan tangannya bila suara itu kedengaran. Dadanya berombak kencang. Tubunya serasa panas membahang. Serentak dia memanggungkan kepala dan senyuman yang tadinya terukir di bibir lelaki itu menghilang. Tahulah Anida benarlah apa yang dia sangka.
�Muhammad Rendra Farhan?�
�Ya, ejaan Raindra� R-A-I-N-D-R-A.�
Anida mengangguk-anggukkan kepalanya. Kalau tidak lelaki itu memberikan ejaan sebenar namanyapun Anida tetap tahu. Tag nama lelaki itu dicarinya di dalam bekas yang tersedia. Kemudian diserahkan kepada lelaki itu.
�Tandatangan di sini.�
Lelaki itu angguk sahaja. Sebaik tandatangan diturunkan di atas kertas putih itu, tanpa sebarang kata lelaki itu berlalu.
###
Bengkel selama dua hari itu berakhir. Anida sedikit terkilan kerana dia tidak punya ruang untuk bertemu lelaki itu. Ya, dia tahu dia kelihatannya seperti terlalu terdesak. Bagaikan terhegeh-hegeh. Tetapi dia tidak mampu mengawal dirinya daripada ingin berbicara dengan lelaki itu.
�Kak Nida, ada orang nak jumpa akak kat lobi.�
�Siapa?� soalnya kepada Wirda atau nama penuhnya Wirdayatul Sofia itu.
�Wirda tak tahu namanya tapi peserta bengkel juga. Dia kata Kak Nida kenal dia.�
Cepat-cepat dia meninggalkan kerjanya. Terus langkah menuju ke lobi. Derap langkahnya seiring dengan dengupan jantungnya. Pantas!
Saat tubuh lelaki itu berada di hadapannya, langkahnya makin perlahan tetapi tidak degupan jantungnya. Dua belas tahun tidak bertemu, perasaan aneh itu tetap ada. Menyedari kehadiran Anida lelaki itu memanggungkan kepala. Telefon bimbitnya dimasukkan kedalam beg galasnya.
�Punya masa?�
Terus Anida angguk. Kalaupun dia tidak punya masa, dia tetap akan memberikan masa itu untuk lelaki itu. Mereka bergerak ke restoran yang terdapat di hotel tersebut. Sekadar memesan minuman.
�Tidak sangka bertemu Anida di sini.� Lelaki itu memulakan bicara.
�Ya, begitu juga kamu. Seorang doktor di bengkel penulisan?�
Lelaki itu ketawa membuatkan Anida tersenyum. Ketawa yang masih sama. Ah!
�Tidak salah bukan?! Saya seorang doktor yang mencintai dunia penulisan.�
�Iya. Tak salah tapi bukankah jauh sampai ke sini mencari ilmunya? Di Indonesia tiada bengkel penulisan?�
�Itu lagi jauh. Saya sekarang bermaustatin di sini.�
�Oh ya? Sudah berapa lama?�
Lelaki itu diam sejenak. Ruang hati Anida penuh dengan rasa gembira.
�Lapan tahun.�
�Wah, sudah lama. Patutlah sudah pandai berbahasa Melayu Malaysia.�
Lelaki itu ketawa lagi. Serta-merta mata Anida menangkap cincin berwarna seakan silver yang tersarung di jari manis lelaki itu. Ah, sekarang usianya sudah menjangkau tiga puluh lapan bukanlah sesuatu yang luar biasa dia sudah berkahwin. Dia kecewa!
�Rezeki saya di sini. Jadi, bagaimana dengan kehidupan kamu? Sudah berapa orang anak?�
Pertanyaan yang keluar daripada lelaki itu kedengaran benar-benar ikhlas. Adakah hanya dia seorang yang teruja dengan pertemuan ini? Adakah dia seorang yang masih menyimpan rasa untuk lelaki ini?
�Tidak punya rezeki lagi untuk ada zuriat.�
Akhirnya itu yang keluar daripada mulutnya. Cincin yang tersarung dijarinya diputar-putar. Terus ingatannya kepada Daniel. Suaminya!
�Erm� saya perlu pergi sekarang. Sudah berjanji mahu keluar menonton movie. Ini nombor telefon saya, mungkin kalau senang boleh hubungi saya.�
Sekeping kad dihulur kepadanya. Anida sambut dengan senyuman yang tidak berapa menjadi. Salam lelaki itu dijawab perlahan dan matanya memerhati langkah lelaki itu yang semakin menjauh.
###
Fikiran Anida penuh dengan kenangan Daniel. Lelaki yang dikahwininya ketika hatinya belum bersedia untuk menerima lelaki lain selain Raindra Farhan. Percaturan keluarga itu membuatkan hatinya memberontak. Dia tidak pernah terpikat dengan lelaki yang berdarah campuran Inggeris-Melayu itu. Langsung tidak terpikat dengan loghat Britishnya. Tidak juga terpikat dengan betapa baiknya lelaki yang membesar di bumi Eropah itu. Hatinya terpasak hanya untuk lelaki bernama Muhammad Raindra Farhan, jejaka kelahiran Bandung yang bergelar doktor itu.
Namun, emak dan ayahnya tidak memberi pilihan. Dikahwinkan juga atas alasan, sebagai anak gadis dia wajib menurut pilihan keluarga. Lalu, jadilah dia seorang isteri kepada Daniel Umar Hendry tanpa redha.
Daniel yang banyak bersabar. Memberi dia ruang. Memberi dia masa. Yang tidak pernah dia hargai. Sehinggalah sehari sebelum ulang tahun perkahwinan mereka Daniel mengamuk. Semuanya gara-gara diari yang ditemuinya. Diari yang menjadi tempat Anida meluah segala rasa tentang Raindra Farhan. Diari yang menjadikan Daniel hilang segala sabarnya.
Dan, itulah yang menjadi detik segalanya berubah. Daniel keluar rumah dengan rasa amarah terlibat di dalam kemalangan. Kemalangan yang telah meragut nyawa Daniel Umar, seorang suami yang tidak pernah dilayan sewajarnya. Menjadikan Anida pesalah seumur hidup. Keluarga mertuanya menyalahkannya. Begitu juga dengan keluarganya sendiri. Sehingga kini keluarga mertuanya itu tidak pernah memaafkannya.
�Aku tak akan maafkan kau sampai bila-bila! Kau memang perempuan tak guna!�
Serentak dengan itu kayu hoki yang berada berhampiran wanita sebaya ibunya dicapai dan dihayun kearahnya. Serta-merta Anida bertindak mempertahankan diri.
Piiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiinnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn.
***
�Nida�Nida��
Matanya terasa berat untuk dibuka. Kepalanya terasa sakit.
�Nida dah sedar dah umi!�
Dia kenal suara itu. Suara abangnya, Zakwan. Jari-jemarinya terasa digenggam. Dia dapat merasakan itu genggaman tangan ibunya.
Matanya sudah boleh dibuka sepenuhnya. Matanya meliar. Ada abangnya, ibunya dan� Raindra Farhan!
�Syukur Nida dah sedar. Alhamdulillah.�
Anida senyum sedikit. Mulutnya terasa sakit. Pandanganya kembali kepada Raindra Farhan yang berdiri sedikit jauh daripada abang dan ibunya. Mungkin menyedari pandangan Anida terhadap lelaki dibelakangnya, Ahmad Zakwan menarik lelaki itu supaya mendekat.
�Farhan yang telefon beritahu kami tadi.� Beritahu Ahmad Zakwan. Sebenarnya dia tidak tahu mahu bereaksi bagaimana ketika mula-mula melihat lelaki itu di hospital. Walaupun dulu mereka tidak pernah rapat tetapi mereka saling mengenali. Saling juga terlibat di dalam aktiviti pelajar bersama-sama. Apa yang berlaku antara lelaki itu dan adiknya yang membuatkan hubungan yang sedia tidak rapat terus semakin menjauh. Sebagai abang, bukan dia tidak bersetuju dengan pilihan Anida ketika itu. Ya, dia hanya seorang abang yang mana wali selayaknya iaitu ayah mereka masih ada waktu itu.
�Terima kasih�.�
Perlahan sahaja Anida bersuara. Raindra Farhan hanya mengangguk. Dia rasa kekok berada di kalangan ahli keluarga Anida. Peristiwa dua belas tahun lepas cepat sahaja menghantuinya.
�Assalamualaikum��
Kedengaran seseorang memberi salam. Seorang wanita memakai kot putih dan bertudung biru laut muncul dengan senyuman. Dia memeriksa keadaan Anida. Kemudian, menerangkan keadaan gadis itu kepada Zakwan dan Puan Sumayyah. Selepas itu Anida melihat Raindra Farhan mengikut doktor wanita itu keluar. Senyuman lelaki itu untuk doktor wanita itu membuatkan Anida rasa cemburu tiba-tiba!
***
Hari ke lima berada di hospital.
�Bagaimana keadaan Anida sekarang? Lebih baik?�
Anida tersenyum sahaja. Sejak dia mengetahui Doktor bernama Leyla itu adalah isteri Raindra Farhan, rasa cemburu tidak dapat dipinggirkan. Senyuman manis doktor itu sering kali dibalasnya dengan tidak ikhlas. Kalau boleh, dia tidak mahu doktor itu yang merawatnya! Tetapi semuanya hanya mampu diluah di dalam hati sahaja.
�Boleh bercakap sekejap?�
Anida angkat kening. Senyuman masih lagi belum sirna dari bibir merah Doktor Leyla . Tanpa terlebih dahulu meminta kebenaran Anida, dia mengambil tempat di birai katil.
�Saya tidak menyangka akan bertemu Anida�� Doktor Leyla berjeda. Mungkin kerana sudah lama berada di Malaysia, Bahasa Melayu Indonesianya sudah tidak begitu kedengaran.
�Maksud doktor?�
�Ya, selama ini saya sekadar mendengar cerita tentang Anida.�
�Dari siapa?� Soal Anida. Dahinya berkerut. Jawapan sebenarnya sudah ada, dia Cuma pura-pura tidak tahu. Siapa lagi kalau bukan lelaki itu?!
�Farhan. Saya tidak menyangka dapat bertemua empat mata dengan Anida. Begini, saya terus kepada niat asal saya mahu berbicara sama Anida. Sudah beberapa hari saya memikirkannya. Hari ini saya nekad, mahu melamar Anida untuk Farhan.�
Membulat mata Anida mendengar butir perkataan yang keluar daripada mulut Doktor Leyla . Wanita bertudung biru laut itu masih tersenyum. Senyuman yang pada Anida, sekadar menutup rasa di hati.
�Doktor tidak tahu status saya. Jadi bagaimana senang sekali doktor mahu melamar saya untuk Farhan?� Soal Anida tanpa memandang Doktor Leyla. Pandangannya di lempar jauh ke luar tingkap. Dia jadi tidak keruan tetiba. Degupan jantungnya tidak teratur.
�Saya ada bertanyakan hal diri Anida kepada Encik Zakwan. Saya tahu Anida sekarang ini keseorangan dan saya juga tahu Anida juga masih punya perasaan terhadap Farhan. Mata ini walaupun perlu cermin mata tapi tetap dapat melihat dengan jelas segala yang Anida rahsiakan.�
�Doktor redha bermadu?� Soal Anida.
Doktor Leyla senyum.
�Kalau itu mampu membahagiakan Farhan, saya redha.�
Doktor Leyla senyum lagi. Jari-jemari Anida ditarik dan digenggamnya erat. Membuatkan Anida sedikit terkejut.
�Saya harap Anida akan menerima lamaran tak rasmi saya ini. In sya ALLAH, selepas saya terima kata putus daripada Anida, ia akan lebih rasmi.�
Anida tidak mampu berkata apa-apa. Segala rasa tidak senang dengan Doktor Leyla hilang begitu sahaja.
�Anida jangan risau. Saya pasti Farhan seorang yang bertanggungjawab dan saya redha sekiranya saya perlu berkongsi dia dengan orang lain.�
Anida diam. Tiada reaksi.
�Okeylah� saya perlu bertemu pesakit lain. Nanti petang saya datang lagi.�
Doktor Leyla berlalu. Anida menoleh, memandang langkah doktor itu yang semakin menjauh dan menghilang di sebalik dinding putih itu.
***
Hidup ini bukan sekadar terletak kepada apa yang kita mahu. Hidup ini macam-macam. Hidup ini pilihan yang pelbagai. Apa kita fikir bila kita mahukan sesuatu, lalu kita berhak untuk mendapatkan sepenuhnya?
Aku mohon maaf, Nida. Aku tidak bersetuju sekiranya kau memilih untuk menerima lamaran Doktor Leyla. Aku bukan mahu menjadi sahabat yang tidak menyokong tapi fikirlah untuk kegembiraan kau dan wanita yang lebih berhak itu. Aku tidak mahu mengungkit dan menjadi terlalu kasar, tetapi kehilangan Daniel sudah buat kau menyalahkan diri sekian lama. Kau pernah beritahu aku, kau telah membuatkan Daniel kalah. Jadi, kau mahu melihat untuk kali keduanya kekalahan orang lain atas kebahagian kau? Atas rasa pentingkan diri?Yakinlah satu hari nanti sepertimana apa yang kau rasa terhadap Daniel akan kau lalui lagi sekali. Sanggup kau terus hidup begini?
Dulu aku diamkan. Aku sokong pendirian kau terhadap rasa cinta untuk Daniel. Waktu itu seperti juga kau, aku tidak cukup berfikir. Kali ini, sebagai sahabat yang melihat hidup kau sekian lama ini sarat dengan rasa bersalah, aku mohon lepaskan Raindra. Seberat mana sekalipun, sekuat mana sekalipun kau mahu menerima lamaran Doktor Leyla, fikirkan wanita yang lebih berhak itu. Letakkan kau ditempatnya!
Aku cuma mampu memberikan sedikit pendapat, selebihnya hak kau untuk membuat keputusan. Dan aku akan sentiasa menjadi sahabat kau walau apapun keputusan kau.
Emel daripada Zuriana ditutup. Seharian dia menunggu balasan daripada wanita yang menetap jauh di bumi Kangaroo itu. Lewat malam baru kantung emelnya berisi emel dari Zuriana.
Anida termenung. Lamaran Doktor Leyla terngiang-ngiang di telinga.
***
�Semalam Doktor Leyla datang jumpa saya.�
Anida berhenti di situ. Mahu melihat reaksi daripada Raindra Farhan. Pagi tadi dia menghubungi lelaki itu, mahu bertemu seketika.
Raindra Farhan angkat kepala. Dahi dia berkerut sedikit. Pelik. Bukankah memang sudah tugas Doktor Leyla bertemu pesakitnya setiap hari?!
�Dia datang melamar saya untuk awak.�
Kali ini riak wajah Raindra Farhan berubah seratus peratus. Wajahnya kelihatan memerah. Anida senyum sedikit melihat reaksi itu. Entah untuk apa dia tidak pasti. Raindra Farhan bangun daripada duduknya. Patutlah dua tiga hari ini isterinya itu lain benar sikapnya. Bila ditanya, jawapannya mudah sahaja. Terlalu banyak pesakit yang mahu dirawat!
�Jadi?� akhirnya Raindra Farhan bersuara. Bergetar suaranya walaupun hanya satu perkataan yang keluar dari mulutnya.
�Apa perasaan Raindra terhadap saya? Terhadap pertemuan kita ini?�
Raindra Farhan mendegus. Dia tidak suka soalannya berbalas soalan. Dia tidak suka dengan cara Anida yang cuba mengelak daripada terus kepada tujuannya.
�Saya tidak fikir Raindra masih punya perasaan terhadap saya lagi dan pertemuan ini bukan sesuatu yang membuatkan awak teruja.�
Anida menjawab soalannya sendiri. Panggilannya terhadap Raindra Farhan juga bercampur-campur. Kekok!
�Jadi apa perlunya saya menjadi orang ke tiga dalam kehidupan rumah tangga kamu berdua? Saya fikir elok rasanya awak beritahu Doktor Leyla, antara kita tak akan mungkin akan ada hubungan berkasih-sayang. Anggap sahaja kehadiran saya untuk menyedarkan, memperbaiki mana yang compang dalam hubungan kamu berdua. Doktor Leyla tak mungkin tega melamar saya sekiranya awak sebagai suami melayan dia dengan sewajarnya. Saya tidak mahu perkara yang terjadi kepada saya akan terjadi kepada awak. Saya sudah cukup menderita kerana keegoaan saya dulu telah membunuh seorang lelaki yang langsung tidak bersalah.�
Anida berhenti di situ. Dia panggung kepala memandang Raindra Farhan yang masih berdiri. Anida pasti perasaannya dua tiga hari ini sebenarnya sekadarlah satu mainan semata. Bertemu semula dengan lelaki itu, membuatkan kenangan lama kembali bertebaran. Menyuntik sedikit harapan tetapi dia sedar sebaik sahaja melihat cincin di jari lelaki itu, kenangan itu akan menjadi sekadar kenangan. Lelaki itu milik wanita lain!
�Dan untuk tidak terus mengeruhkan keadaan, biarlah pertemuan kita setakat hari ini.�
Senyuman cuba diukir walaupun raut wajah Raindra Farhan masih penuh dengan kejutan. Masih berkerut dahinya. Masih memerah wajahnya.
�Raindra, saya tidak tahu apa yang awak fikirkan sekarang ini. Tapi eloklah sekiranya awak bertemu dengan Doktor Leyla sekarang kerana semalam saya memberitahunya saya berikan keputusan saya pada hari ini, sebelum saya keluar daripada sini. Serahkan surat ini kepadanya.�
Sekeping kertas berlipat dicapai daripada dalam laci meja, dihulurkan kepada Raindra Farhan. Lelaki mencapainya sedikit lambat.
�Itu jawapan saya.�
***
Doktor Leyla,
Doktor seorang isteri yang baik dan terbaik untuk suami doktor. Jangan pernah mengaku kalah hanya kerana kehadiran saya yang sekejap cuma. Terima kasih atas lamaran doktor tetapi maaf, saya tidak mampu menerimanya. Raindra adalah kenangan lalu saya, yang tak mungkin saya gapai hari ini. Dia sudah punya yang lebih berhak, iaitu doktor.
0 Response to "Cerpen : Kisah Semalam"
Post a Comment