BOUGAINVILLEA HATI EMAK
Aku pandang halaman rumah yang kosong. Bukan tiada langsung pokok bunga atau pokok lain-lainnya tetapi kawasan yang dahulunya penuh dengan pokok-pokok bunga kini kosong. Tanah di kawasan tersebut yang dahulunya tidak rata kini sudah rata. Paling jelas �hilang� adalah pokok Bunga Kertas yang selama ini setia tumbuh di sudut kiri halaman.
Kelmarin Mak Lang menghubungi aku, dengan suara jelas cemasnya Mak Lang memberitahu aku bahawa emak telah menghalau Iman keluar dari rumah. Marah benar emak dengan Iman. Semuanya hanya kerana pokok Bunga Kertas kesayangannya ditebang Iman.
Kata emak, pokok Bunga Kertas itu pemberian arwah ayah tiga puluh tahun lalu. Lambang cinta ayah kepada emak. Emak jaga pokok bunga itu dengan baik. Emak baja dan emak siram setiap hari tanpa sehari pun gagal. Kalau emak tiada di rumah, emak amanahkan Mak Cik Ani, jiran sebelah rumahku menyiramnya. Aku mahu gelak sebenarnya bila emak bercerita perihal pentingnya Bunga Kertas itu kepada emak. Seperti arwah ayah tidak punya bunga lain mahu diberikan kepada emak. Tetapi melihat mata emak yang memerah aku simpan sahaja di dalam hati. Patutlah sejak ayah meninggal dunia, seawal pagi lagi ibu sudah turun ke tanah. Patutlah juga pohon Bunga Kertas itu lebat daun dan bunganya. Rupanya ia hidup kerana cinta Abah untuk emak.
Tapi aku masih tidak dapat menerima tindakan emak yang sanggup menghalau Iman hanya kerana Iman menebang pokok bunga kesayangannya. Besar sangatkah salah Iman itu?
�Aku tak kisah kak kalau emak halau aku sebab aku ni anak tak berguna tapi sebab bunga kertas tu je.�
Sebak suara Iman yang cuba di tahan kedengaran sebaik sahaja aku dan dia mengambil tempat di bawah perdu pokok rambutan rumah Mak Lang. Aku bersyukur Iman tidak tinggal di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Nasib baik dia ke rumah Mak Lang.
�Paling aku tak sangka kak, pertama kali mak bahasakan diri dia �aku�. Kalau Mak Lang, aku tak kisah sebab Mak Lang dari dulu� sejak kita kecik lagi� dia bahasakan diri dengan kita dan anak-anak dia macam tu� tapi emak?�
Ya aku tahu itu. Emak seorang yang lemah lembut. Tidak pernah berkasar dengan kami adik beradik. Buat salah macam mana sekalipun emak akan tegur dengan baik. Kalau dibandingkan dengan Mak Lang memang jauh panggang dari api. Cuma garang-garang Mak Lang, hatinya baik.
�Mak buat macam bunga kertas tu lebih bernilai dari aku� aku tahu kak.. aku tak ngaji pandai macam Angah, Ateh.. macam akak. Aku kerja pun kerja kampung, bila ada kerja ada lah.. kekadang duit minyak motor pun aku minta dari mak. Nak top-up pun aku minta dari Angah. Aku berkawan pun dengan budak-budak jahat tapi sumpah kak� aku tak pernah sekali pun ikut dorang buat jahat. Nak bawak aku pergi check tengok aku ambil dadah ke tak aku sanggup pergi kak! Tanyalah perempuan-perempuan kat kampung ni, pernah tak aku kacau dorang?! Kalau bebudak ni kacau, aku diam je.. aku tak masuk campur pun! Mungkin sebab aku ni anak tak berguna kak, sampaikan aku dihalau��
Aku sudah tidak dapat menahan sebak saat itu. Laju sahaja air mataku mengalir.
�Siapa kata Iman anak tak berguna? Iman ingat akak tak tahu kenapa Iman tak nak sambung belajar? Ingat hati akak ni buta? Iman tak nak sambung belajar sebab Iman fikir tak ada siapa nak jaga emak kat kampung. Akak masih ingat lagi sebelum ayah meninggal, Iman ada beritahu akak kalau pun Iman tak berjaya masuk universiti awam.. Iman akan tetap sambung belajar kat universiti atau kolej swasta. Iman nak kerja besar-besar, Iman tak mahu hidup kat kampung tapi bila ayah meninggal selepas Iman habis SPM, Iman terus diam. Dapat surat tawaran masuk UiTM Iman sorokkan. Bila Ateh jumpa surat tu, Iman bagi alasan Iman dah malas belajar. Iman nak duduk kampung!�
Ada senyuman nipis di bibir Iman berserta gelengan kepalanya. Aku tak akan pernah lupa saat itu. Saat Iman melupakan cita-citanya demi Emak. Saat Iman melepaskan keinginannya kerana Emak. Aku tahu Iman takut tinggalkan emak bersendirian. Iman tak akan mungkin tunjukkan kasih sayangnya terhadap emak secara terus terang, tapi melalui caranya yang cukup halus.
�Iman ingat tak masa arwah ayah meninggal? Iman tak menangis langsung.�
�Mak Lang kata aku anak degil dan keras. Aku tak macam Shuib.� Ada gelak dihujung bicaranya.
�Tapi akak tahu Iman menangis di dalam hati. Iman paksa diri untuk kuat kerana kami.�
Semasa kematian arwah ayah, saat itulah aku melihat Iman menjadi lelaki yang sebenar-benarnya lelaki. Dia cuba untuk tidak menangis. Dia cuba menjadi kuat dan tabah. Pertama kali, Iman meranggul kami adik beradik seorang demi seorang. Membisikkan kata-kata semangat untuk kami. Suaranya yang sebak itu sedaya upaya dikawal. Mengucup dahi seperti memberi kami ketabahan sehinggalah jenazah ayah disemadikan. Adik aku yang ketika itu berusia lapan belas tahun, bertindak sebagai lelaki dewasa.
�Kalau Iman ni anak yang tak berguna, kebun arwah ayah tu dah lama �mati�. Dah lama bersemak samun. Pisang tu tak akan mengeluarkan hasil yang baik. Pokok-pokok tebu tu dah jadi macam lalang. Kalau tak kerana Iman yang usahakan kebun tu, tak adalah pokok timun, cili dengan pokok betik tu. Jadi siapa kata Iman tidak berguna?�
�Emak� Nilai aku kurang dari nilai pokok Bunga Kertas tu kak! Kalau aku tahu pokok Bunga Kertas tu lebih bernilai dari aku.. aku tak akan sentuh sikit pun! Entahlah kak, bila aku fikir balik siapa aku ni pada emak?! Kalau Pokok bunga Kertas itu kenangan yang arwah ayah tinggalkan untuk emak habis tu aku ni apa kak? Teruk sangat ke aku ni sampai emak begitu marah� sampai sanggup halau aku?�
�Akak percaya nanti bila hati Mak dah okey, Iman baliklah� jumpa Mak lepas tu minta maaf.� Aku memujuk Iman yang sudah mula mengalirkan air mata. Mungkin sudah tidak bisa mengawal kesedihan yang melanda dirinya.
�Aku takut kak�Nanti Mak halau aku lagi� semua bebudak gelakkan aku. Kata bunga kertas lebih bernilai dari aku! Satu kampung ni dah tau Mak halau aku sampai aku nak keluar rumah aku rasa malu kak! Macam semua pandang aku, seolah-olah aku ni anak derhaka.�
�Ish mana ada. Perasaan kamu jer!�
�Aku tak akan balik selagi Mak tak maafkan aku. Walaupun aku lelaki aku tetap ada perasaan. Aku sedih sangat bila Mak kata aku ni tak pernah menyenangkan hati dia. Asyik menyusahkan.� Suara Iman sudah bercampur dengan tangisan. Inilah pertama kali aku melihat Iman menangis sebegini.
�Emak tengah marah waktu tu. Iman kenalah faham.�
Iman diam tanpa reaksi. Lama dia merenung tanah berdebu di bawah perdu pokok rambutan Mak Lang. Seketika kemudian, aku terdengar Iman menarik nafas dalam dan dilepaskan berat. Sesaat kedengaran Iman ketawa kecil.
�Yang tetiba ketawa ni kenapa?� soalku penuh kehairanan.
�Buruk aku menangis kak. Kalau nampak kat Shuib bertahun-tahun dia akan gelakkan aku.�
Iman menyapu air matanya dengan hujung jari-jemari. Kata-kata Iman buat aku tersenyum. Kami berdua memang tidak banyak bercakap sebelum ini. Bukan kerana perselisihan faham cuma mungkin kerana kami jarang ada masa bersama. Mana tidaknya, usianya enam tahun aku sudah berada di asrama. Balik cuma sebulan sekali. Mungkin dia terasa janggal bersama aku tapi Iman tidak pernah berlaku kurang ajar dengan aku. Kalau pun aku marah dia sekalipun kerana bercampur dengan budak-budak jahat kampung, dia hanya diam membisu. Paling tidak dia lari ke belakang rumah, yang menempatkan reban-reban ayam peninggalan arwah ayah. Dengan ayam-ayam itulah dia bercerita itu ini. Kekadang perasaan marah aku jadi sejuk mendengar dia bercerita dengan ayam-ayam itu. Lucu pun ada kerana dia tidak berani menjawab di hadapanku, sebaliknya di hadapan haiwan peliharaan yang belum tentu faham apa yang diperkatakannya.
�Mak tahu akak datang sini?�
�Tak. Akak kata nak ke kedai. Nak beli top up.�
�Bukan ke akak pakai line? Nak top up yang mana?�
Pertanyaan Iman menyebabkan aku menepuk dahi. Terlupa akan hakikat itu. Bergegas aku menyarung selipar dan menjerit memberitahu Mak Lang yang aku mahu balik.
2.
Aku mengeluh lagi. Entah untuk kali ke berapa aku tidak pasti. Ruang laman yang kosong yang akan menjadi tempat terpacaknya khemah-khemah sempena persandingan Angah bulan hadapan aku tinggalkan. Kalau tidak kerana Iman teruja mahu membantu tentu perkara begini tidak akan terjadi. Menurut Mak Lang, sepatutnya Shuib yang diamanahkan supaya membersihkan kawasan itu tetapi tetiba Iman menawarkan diri. Shuib pula terlupa memberitahu Iman tentang arahan emak supaya jangan mengusik pokok Bunga Kertasnya.
Aku melangkah ke belakang, menuju ke tempat pembuangan sampah. Di situlah, Iman membuang dan membakar pokok bunga kesayangan emak. Aku memerhati kosong dahan-dahan dan ranting-ranting yang sudah hitam di makan api. Entah kenapa air mataku mengalir lagi sehinggakan aku terduduk di hadapan tempat sampah itu. Nyata aku amat kecewa dengan apa yang berlaku.
Tetiba mataku yang berkaca tertancap ke arah dahan panjang dan berdaun serta berbunga merah hati yang terdapat di belakang reban ayam. Cepat sahaja aku bangun dan mengesat air mataku dengan hujung t-shirt. Semakin dekat aku yakin, itulah dahan pokok Bunga Kertas emak!
Terus aku tarik dahan tersebut dan menjerit memanggil emak. Aku menangis lagi kerana aku pasti, semuanya akan berakhir!
3.
Setahun telah berlalu sejak peristiwa emak menghalau Iman kerana pokok Bunga Kertasnya. Aku sangat bersyukur kerana peristiwa itu telah mendekatkan aku dan Iman. Peristiwa itu juga telah merubah Iman menjadi lelaki yang pandai menunjukkan kasih sayangnya. Dahulu, hendak mencium tangan emak pun Iman hendak tak hendak. Bukan kerana apa, dia rasa malu. Sekarang ini, aku pula jadi cemburu. Iman yang pendiam dan pemalu itu sudah banyak cakapnya dan sering kali juga tubuh ibu dipeluknya dan pipi emak acap kali diciumnya. Emak juga bagaikan semakin memanjakan Iman. Setiap kali aku menelefonnya atau balik ke kampung, ada sahaja cerita tentang Iman.
Menurut Mak Lang, sehari selepas emak menghalau Iman, emak menghubunginya bertanyakan perihal adik bongsu aku itu. Nyata emak sebenarnya tidak berniat mahu memarahi Iman malah emak sedar akan pengorbanan Iman selama ini. Cuma pada waktu emak menghalau Iman itu emak terlalu terkejut dan marah.
�Anak-anak emak sebenarnya adalah kenangan paling indah yang arwah ayah tinggalkan untuk emak.� Itulah jawapan emak bila Iman yang sudah lenjun dengan air mata bertanya kepada emak, sama ada nilai dirinya kurang daripada pokok Bunga kertas itu.
Sekarang, dahan pokok Bunga Kertas yang aku temui di belakang reban ayam itu tumbuh elok dan berbunga lebat seperti dahulu. Seperti kasih emak terhadap arwah ayah yang tidak pernah padam. Seperti kasih Iman terhadap emak yang sentiasa mekar. Seperti kasih kami adik beradik yang semakin utuh.
Bila aku nyatakan kepada Iman, ketika kami duduk di beranda rumah sambil melihat emak yang leka dengan Bunga Kertasnya tentang betapa aku cemburu dengan kasih yang dia tunjukkan kepada emak jawapan Iman membuatkan aku bangga punya adik sepertinya.
�Akak perempuan.. aku ni lelaki� bila Akak, Angah dan Ateh kahwin hak dan tanggungjawab akak semua beralih kepada suami. Kalau suami tak benarkan akak melawat emak, akak tak boleh balik kampung. Aku pulak lelaki.. kalau pun aku ni dah kahwin.. emak tetap tanggungjawab aku.. isteri aku kena ikut cakap aku. Keputusan di tangan aku.�
Aku senyum mendengar jawapan itu.
�Terima kasih kak��
Iman bersuara setelah kami membisu seketika. Aku pandang wajahnya dengan kerutan di dahi, tidak faham akan ucapan yang keluar dari mulut Iman.
�Terima kasih sebab akak nampak dahan pokok tu. Kalau tak berpanjanganlah marah Mak pada aku.�
Aku senyum lagi. Sepantas itu, tubuh Iman aku tarik ke dalam pelukanku. Mengeliat Iman cuba menepis.
�Eh apa ni kak?! Nak peluk-peluk aku ni! Malulah orang tengok. Dah lah badan bau kambing!�
Aku ketawa lepas. Ikutkan Iman perlu ucapkan terima kasih kepada Adli, kawannya yang tetiba datang mengajak keluar. Kalau tidak dahan itu juga akan turut Iman bakar.
�Iman kan adik kesayangan akak.. kenalah peluk selalu��
�Banyaklah! Baik aku pergi mandi� bau kambing melekat dah!�
Lagi galak aku ketawa dengan reaksi Iman. Sebaik aku melepaskan pelukan pantas sahaja Iman bangun terus masuk ke dalam rumah. Emak sudah memandang semacam kea rah aku. Senyuman sahaja mampu aku ukirkan kepada emak.
0 Response to "BOUGAINVILLEA HATI EMAK"
Post a Comment