Adsterra

BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 8

Aizura memandu memasuki ruang letak tempat kereta Pusat beli-belah Queensbay. Masih ada sejam setengah lagi sebelum  pusat beli-belah itu tutup. Teman di sebelahnya yang sedari tadi senyap sepi itu dibiarkan. Maisara sendiri yang mengajak dia untuk membeli barangan dapur yang semakin berkurang. Mata temannya itu nampak sembap tetapi tidak berapa jelas kelihatan sekiranya tidak diperhati.
�Kau okey tak ni?�
Maisara angguk sahaja. Dia cuba untuk kuat. Dia tidak mahu menangis lagi. Cukuplah tadi air matanya mengalir deras. Cukuplah! Perpisahan ini demi keredhaan. Dia percaya kalau benar antara dia dan Azwan berjodoh, akan ada penyatuan satu hari nanti.
Maisara menghela nafas panjang. Mencari-cari kekuatan untuk dia hadapi masa yang mendatang. Takut pula sekejap nanti air matanya tumpah lagi.
�Aku belanja kau pizza nak tak?�
Dia tersenyum akhirnya dengan pelawaan Aizura. Jarang dapat merasa belanja Aizura kerana temannya itu memang jarang keluar selepas waktu kerja melainkan ada hal-hal tertentu sahaja. Duduk di rumah, dia sekadar menanak nasi dan menggoreng ikan ataupun telur. Mahu masak yang lebih sedikit kena tunggu Maisaralah jawabnya!
�Aku rasa macam nak makan pasembur! Belanja aku Pasembur kat Nashmir.� Usulnya.
�Tak ada tempat lain ka? Aku dah bosan tengok Nashmir tu. Tersengih-sengih bila nampak kita.�
Kali ini Maisara sudah ketawa besar melihat mimik muka yang ditunjukkan oleh Aizura. Terbayang wajah-wajah pekerja lelaki berkulit gelap tetapi bergigi putih bersih yang menyambut kedatangan mereka. Bukan setakat seorang dua yang datang ke meja mereka untuk mengambil pesanan � seorang yang mengambil pesanan, yang lain menyendeng mahu berbual-bual. Maisara tak pernah kisah akan hal itu. Dilayan juga setiap perbualan dan pertanyaan mereka. Selagi mereka tidak melebih-lebih Maisara okey sahaja. Aizura pula sebaliknya. Dia meluat benar dengan mamak-mamak yang belum tentu mamak itu. Tersengih-sengih macam kerang busuk! Tak berkenan sungguh dia.
Ala kau ni kan, tak patut berprasangka tak baik dengan dorang. Nak belanja aku ke tak?�
�Yalah. Sebab kau, aku ikut jerlah!

***

Mereka sampai di restoran nasi kandar itu bila jam tangan Maisara baru melewati angka sepuluh lima belas minit malam. Sebaik sahaja nampak kelibat mereka seperti yang diperkatakan Aizura, pekerja di situ sudah tersenyum-senyum memandang mereka. Maisara sambut senyuman itu dengan senyuman. Tidak tahu pulak dia apa reaksi Aizura. Kekadang temannya itu bukan boleh dijangka. Sekejap mesra sekejap mukanya menyombong.
Maisara memesan pasembur seperti keinginannya dan secawan teh panas. Manakala Aizura sekadar memesan roti bakar dan Nescafe �O� panas. Baru sahaja Aizura mahu bersuara mereka didekati oleh seorang lelaki muda bersama seorang gadis.
�Assalamualaikum. Akak ni Maisara kan?�
Maisara berpandangan dengan Aizura sebelum kedua-duanya menyambut salam lelaki itu. Dahi Maisara berkerut memikirkan tentang lelaki yang berdiri di tepi mejanya. Cuba menyelongkar ruang memorinya mengingat akan gerangan lelaki itu.
�Aah. Awak ni siapa?�
Soalan itu bagaikan tidak kena sahaja pada pendengaran Maisara sendiri. Dia masih gagal untuk mengingat siapa lelaki itu. Kalau dia merupakan bekas pekerja RWE masakan tidak kenal Aizura sekali.
�Saya Haikal. Kawan Faiz.�
Maisara menelan air liur bila nama Faiz disebut lelaki itu. Pandangannya bersatu dengan pandangan Aizura. Jelas temannya itu tayang muka terkejut. Siap terbeliak mata temannya itu.
�Masa sekolah dulu selalu saya datang rumah Faiz. Satu team hoki.�
Haikal terus mencuba menyelongkar memori ingatan Maisara tanpa dia sedari bahawa Maisara seboleh mungkin tidak mahu bercakap berkenaan hal itu. Tambah-tambah di hadapan Aizura yang mengenali Faiz tetapi tidak tahu selama ini Maisara mengenali lelaki itu.
�Maaflah, akak tak ingat.�
�Tak apalah kak. Dah lama dah pun. Faiz ada beritahu dia kerja satu ofis dengan akak. Tak sangka pulak selama ini akak kerja sini.�
Maisara cuma senyum. Aliran nafasnya tidak teratur. Seboleh mungkin dia mahu Haikal berlalu dengan segera. Kehadiran lelaki itu menyebabkan memori menakutkan menerjah-nerjah ruang matanya. Bagai tayangan layar perak di hadapan mata.
�Okeylah kak� saya kena pergi ni. Assalamualaikum.�
�Waalaikumsalam.�

***

�Jadi  kau dengan Faiz memang dah kenal lah kan?�
Riak wajah Aizura sukar ditafsirkan ketika ini. Marah atau tidak, tidak dapat ditelah oleh Maisara. Bagi Aizura pula, dia sememangnya menyedari akan sesuatu yang tidak kena antara Faiz dan Maisara. Pandangan kedua-dua mereka itu sudah cukup menceritakan sesuatu tetapi dia tidak pasti apa.
�Maaf Zura. Aku tahu aku tak patut rahsia kan apa-apa daripada kau. Aku dengan Faiz memang dah lama kenal. Dia adik kawan baik aku�.�
�Kau pernah bercinta dengan dia?�
Terus Aizura bertanya,  dia benar-benar tidak sabar untuk mengetahui hubungan sebenar yang pernah terjalin antara temannya itu dengan Faiz. Semacam ada sesuatu yang lebih dari hubugan seorang adik kepada seorang kawan semata. Renungan Faiz bukanlah renungan seorang adik! Tidak sama sekali!
�Gila kau?! Dia adik kawan baik aku.�
�Dah tu kenapa kau buat tak kenal dia? Aku tengok semacam jer korang berdua.�
Maisara menarik nafas perlahan. Dia cuba berlagak tenang. Teh panas yang berada di hadapannya disisip perlahan. Aizura cuma perlu tahu dia mengenali Faiz. Selebihnya tidak perlu. Dia tidak mahu menceritakan apa-apa berkenaan dengan hal itu.
�Taklah. Aku kenal keluarga dia sejak aku kat U lagi. Aku baik dengan Aina, kakak dia yang nombor dua. Tapi sebab satu benda aku dengan Aina terus terputus hubungan.�
�Sebab apa?�
Maisara diam seketika. Mencari alasan yang munasabah untuk diberikan kepada Aizura.
�Kami bergaduh besar sebab aku bercinta dengan lelaki yang dia minat.�
�Hah? Itu jer?�
Aizura mengerutkan dahi. Semacam tidak betul sahaja apa yang diperkatakan oleh Maisara. Jauh di sudut hatinya dia tahu ada sesuatu yang lebih daripada itu. Sesuatu yang melibatkan Faiz!
Yes.  Dahlah aku lapar ni� Mata pun dah macam tak boleh buka. Kau janji dengan aku� jangan beritahu sesiapa yang aku dengan Faiz dah lama kenal. Aku tak nak sesiapa pun tahu!�
Aizura angguk pun tidak geleng pun tidak. Dia masih tidak berpuas hati. Kalau Maisara ada masalah dengan kakak Faiz kenapa lelaki itu pula yang seolah-olah bermasalah dengan Maisara?!

0 Response to "BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 8"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel